Jumat, 20 Desember 2019

44 WASIAT AL-‘ARIFBILLAH ASY-SHEIKH ABDUL WAHAB ROKAN, BABUS SALAM, LANGKAT MEDAN


Oleh: Jefri Aljumanatul Ali

44 WASIAT AL-‘ARIFBILLAH ASY-SHEIKH ABDUL WAHAB ROKAN, BABUS SALAM, LANGKAT MEDAN

Sheikh Abdul Wahab Rokan al-Kholidi an-Naqsyabandi Qoddasollohu Sirrohu, yang lebih dikenali dengan sebutan Tuan Guru Besilam (Babus Salam), adalah seorang Wali Allah yang banyak memiliki kekeramatan.

Beliau lahir pada tarikh 19 Rabiul Akhir 1230H bertepatan dengan tarikh 28 September 1811M. Tempat kelahiran beliau bernama Kampung Danau Runda, Rantau Binuang Sakti, Negeri Tinggi, Rokan Tengah, Kabupaten Kampar, Propinsi Riau. Ayahandanya bernama Abdul Manap bin M.Yasin bin H.Abdullah bin Edek, suku Tembusai. Ibundanya bernama Arbaiyah binti Datuk Dagi binti Tengku Perdana Menteri bin Sultan Ibrahim, kepenuhan (Riau). Beliau meninggal dunia pada tarikh 21 jumadil Awal 1345H bertepatan dengan tarikh 27 Desember 1926M.

Sebelum meninggal dunia Sheikh Abdul Wahab sempat menulis wasiat yang terdiri dari 44 pasal.

Wasiat ini ditujukan kepada anak cucunya, baik anak kandung maupun anak murid. Beliau berpesan kepada anak cucunya untuk menyimpan buku wasiat ini dan sering-sering membacanya, seminggu sekali, atau sebulan sekali dan sekurang-kurangnya setahun sekali, serta diamalkan segala apa yang tersebut didalamnya.

Menurut wasiatnya itu kalau sering-sering dibaca dan kemudian diamalkan segala yang termaktub didalamnya, mudah-mudahan beroleh martabat yang tinggi, kemuliaan yang besar dan kekayaan dunia dan akhirat. Naskah asli dari wasiat itu berbunyi sebagai berikut :

Alhamdulillah Al-Lazi Afdholana ‘Ala Katsiri ‘Ubbadihi Tafdhila. Washsholatu Wassalamu ‘Ala Sayyidina Muhammadin Nabiyyan Warosula, Wa alihi Wa Ashabihi Hadiyan Wa Nashiran. Amin, Mutalazimaini daiman Abada. Amma Ba’du, maka masa hijrah Nabi kita Muhammad saw 1300 dan kepada 13 hari bulan Muharram makbul dan kepada hari Jum’at jam 2.00, masa itulah saya Haji Abdul Wahab Rokan al-Kholidi an-Naqsyabandi asy-Syazili bin Abd.Manaf, Tanah Putih bin Yasin bin Al-Haj Abdullah Tambusai, membuat surat wasiat ini kepada anak dan cucu saya laki-laki atau perempuan, sama ada anak kandung atau anak murid.

Maka hendaklah taruh surat wasiat ini satu surat satu orang dan baca se Jum’at sekali, atau sebulan sekali. Dan sekurang-kurangnya setahun sekali. Dan serta amalkan seperti yang tersebut di dalam wasiat ini, supaya dapat martabat yang tinggi dan kemuliaan yang besar dan kaya dunia akhirat.

Dan adalah wasiatku ini 44 wasiat. Dan lagi hai sekalian anak cucuku, sekali-kali jangan kamu permudah -mudah dan jangan kamu peringan-ringan wasiatku ini, kerana wasiatku ini datang daripada Allah dan Rasul S.A.W dan guru-guru yang pilihan. Dan lagi telah kuterima kebajikan wasiat ini sedikit-dikit dan tetapi belum habis aku terima kebajikannya, sebab taqshir daripada aku, kerana tiada habis aku kerjakan seperti yang tersebut didalam wasiat ini. Dan barangsiapa mengerjakan sekalian wasiat ini tak dapat tiada dapat kebajikan sekaliannya dunia akhirat.

Wasiat 1
Hendaklah kamu sekalian masygul dengan menuntut ilmu al-Qur’an dan kitab kepada guru-guru yang mursyid dan rendahkan dirimu kepada guru-guru kamu. Dan perbuat apa-apa yang disuruhkan, jangan bertangguh-tangguh. Dan banyak-banyak bersedekah kepadanya. Dan i’tikadkan diri kamu itu hambanya. Dan jika sudah dapat ilmu itu, maka hendaklah kamu ajarkan kepada anak cucuku. Kemudian maka orang yang lain. Dan kasih sayang kamu akan muridmu seperti kasih sayang akan anak cucu kamu. Dan jangan kamu minta upah dan makan gaji sebab mengajar itu. Tetapi pinta upah dan gaji itu kepada Tuhan Yang Esa lagi kaya serta murah, yaitu Allah Ta’ala.

Wasiat 2
Apabila sudah kamu baligh, berakal, hendaklah menerima thoriqat Syaziliyah atau thoriqat Naqsyabandiah, atau thoriqat-thoriqat muktabar yang lainnya supaya sejalan kamu dengan aku.

Wasiat 3
Jangan kamu berniaga sendiri, tetapi hendaklah berserikat. Dan jika hendak mencari nafkah, hendaklah dengan jalan tulang gega (dengan tenaga sendiri), seperti berhuma dana berladang dan menjadi amil. Dan didalam mencari nafkah itu maka hendaklah bersedekah pada tiap-tiap hari supaya segera dapat nafkah. Dan jika dapat ringgit sepuluh maka hendaklah sedekahkan satu dan taruh sembilan. Dan jika dapat dua puluh, sedekahkan dua. Dan jika dapat 100 sedekahkan 10, dan taruh 90. Dan apabila cukup nafkah kira-kira setahun maka hendaklah berhenti mencari itu dan duduk beramal ibadat hingga tinggal nafkah kira-kira 40 hari, maka barulah mencari.

Wasiat 4
Maka hendaklah kamu berbanyak sedekah sebilang sehari, istimewa pada malam Jum’at dan harinya. Dan sekurang-kurangnya sedekah itu 40 duit pada tiap-tiap hari. Dan lagi hendaklah bersedekah ke Mekah pada tiap-tiap tahun.

Wasiat 5
Jangan kamu bersahabat dengan orang yang jahil dan orang fasik. Dan jangan bersahabat dengan orang kaya yang bakhil. Tetapi bersahabatlah kamu dengan orang-orang ‘alim dan Ulama dan shalih-shalih.

Wasiat 6
Jangan kamu hendak kemegahan dunia dan kebesarannya, seperti hendak menjadi kadhi dan imam dan lainnya, istimewa pula hendak menjadi penghulu-penghulu. Dan lagi jangan hendak menuntut harta benda banyak-banyak. Dan jangan dibanyakkan memakai pakaian yang harus.

Wasiat 7
Jangan kamu menuntut ‘ilmu sihir seperti kuat dan kebal dan pemanis dan lainnya, kerana sekalian ilmu ada di dalam al-Qur’an dan kitab.

Wasiat 8
Hendaklah kamu kuat merendahkan diri kepada orang Islam. Dan jangan dengki khianat kepada mereka itu. Dan jangan diambil harta mereka itu melainkan dengan izin syara’.

Wasiat 9
Jangan kamu menghinakan diri kepada kafir laknatullah serta makan gaji serta mereka itu. Dan jangan bersahabat dengan mereka itu, melainkan sebab uzur syara’.

Wasiat 10
Hendaklah kamu kuat menolong orang yang kesempitan sehabis-habis ikhtiar sama ada tolong itu dengan harta benda atau tulang gega, atau bicara atau do’a. Dan lagi apa-apa hajat orang yang dikabarkannya kepada kamu serta dia minta tolong, maka hendaklah sampaikan seboleh-bolehnya.

Wasiat 11
Kekalkan air solat (wudhuk) dan puasa tiga hari pada tiap-tiap bulan.

Wasiat 12
Jika ada orang berbuat kebajikan kepada kamu barang apa kebajikan, maka hendaklah kamu balas akan kebajikan itu.

Wasiat 13
Jika orang dengki khianat kepada kamu, telah dipeliharakan Allah kamu dari padanya, maka hendaklah kamu sabar dan jangan dibalas dan beri nasihat akan dia dengan perkataaan lemah lembut, kerana mereka itu orang yang bebal.

Wasiat 14
Jika kamu hendak beristeri, jangan dipinang orang tinggi bangsa seperti anak datuk-datuk. Dan jangan dipinang anak orang kaya-kaya. Tetapi hendaklah pinang anak orang fakir-fakir dan miskin.

Wasiat 15
Jika memakai kamu akan pakaian yang lengkap, maka hendaklah ada didalamnya pakaian yang buruk. Dan yang aulanya yang buruk itu sebelah atas.

Wasiat 16
Jangan disebut kecelaan orang, tetapi hendaklah sembunyikan sehabis-habis sembunyi.

Wasiat 17
Hendaklah sebut-sebut kebajikan orang dan kemuliaannya.

Wasiat 18
Jika datang orang ‘alim dan guru-guru ke dalam negeri yang tempat kamu itu, istimewa pula khalifah thoriqat Naqsyabandiah, maka hendaklah kamu dahulu datang ziarah kepadanya daripada orang lain serta beri sedekah kepadanya.

Wasiat 19
Jika pergi kamu kepada suatu negeri atau dusun dan ada didalam negeri itu orang alim dan guru-guru khususnya khalifah thoriqat Naqsyabandiah, maka hendaklah kamu ziarah kepadanya kemudian hendaklah membawa sedekah kepadanya.

Wasiat 20
Jika hendak pergi orang ‘alim itu daripada tempat kamu itu atau engkau hendak pergi dari pada tempat itu, maka hendaklah kamu ziarah pula serta memberi sedekah supaya dapat kamu rahmat yang besar.

Wasiat 21
Sekali-kali jangan kamu kahwin dengan janda guru kamu, khususnya guru thoriqatmu. Dan tiada mengapa kawin dengan anak guru, tetapi hendaklah bersungguh-sungguh membawa adab kepadanya serta jangan engkau wathi akan dia, melainkan kemudian daripada meminta izin. Dan lebihkan olehmu akan dia daripada isterimu yang lain, kerna dia anak guru, hal yang boleh dilebihkan.

Wasiat 22
Hendaklah segala kamu yang laki-laki beristeri berbilang-bilang. Dan sekurang-kurangnya dua, dan yang baiknya 4. Dan jika isterimu tiada mengikut hukum, ceraikan, cari yang lain.

Wasiat 23
Hendaklah kamu yang perempuan banyak sabar, jika suami kamu beristeri berbilang-bilang. Janganlah mengikut seperti kelakuan perempuan yang jahil, jika suaminya beristeri berbilang, sangat marahnya, dan jika suaminya berzina tiada marah.

Wasiat 24
Jika ada sanak saudara kamu berhutang atau miskin dan sempit nafkahnya dan kamu lapang nafkah, maka hendaklah kamu beri sedekah sedikit-sedikit seorang supaya sama kamu. Inilah makna kata orang tua-tua, jika kamu kaya maka hendaklah bawa sanak saudara kamu kaya pula, dan jika kamu senang, maka hendaklah berikan senang kamu itu kepada sanak saudara kamu.

Wasiat 25
Mana-mana sanak saudara kamu yang beroleh martabat dan kesenangan, maka hendaklah kamu kuat-kuat mendo’akannya supaya boleh kamu bernaung dibawah martabatnya.

Wasiat 26
Hendaklah kasih akan anak-anak dan sayang akan fakir miskin dan hormat akan orang tua-tua.

Wasiat 27
Apabila kamu tidur, hendaklah padamkan pelita, jangan dibiarkan terpasang, kerna sangat makruh, sebab demikian itu kelakuan kafir Yahudi.

Wasiat 28
Jika kiamu hendak bepergian, maka hendaklah ziarah kepada ibu bapa dan kepada guru-guru dan orang saleh-saleh. Minta izin kepada mereka itu serta minta tolong do’akan, dan lagi hendaklah mengeluarkan sedekah supaya dapat lapang.

Wasiat 29
Jangan berasah gigi laki-laki dan perempuan. Dan jangan bertindik telinga jika perempuan, karena yang demikian itu pekerjaan jahiliah.

Wasiat 30
Jangan kuat kasih akan dunia, hanya sekedar hajat. Siapa kuat kasih akan dunia banyak susah badannya dan percintaan hatinya dan sempit dadanya. Siapa benci akan dunia, sentosa badannya dan senang hatinya dan lapang dadanya.

Wasiat 31
Hendaklah kasih sayang akan ibu bapa seperti diikut apa kata-katanya dan membuat kebajikan kepada keduanya sehabis-habis ikhtiar. Dan jangan derhaka pada keduanya, seperti tiada mengikut perintah keduanya dan kasar perkataan kepada keduanya dan tiada terbawa adabnya.

Wasiat 32
Jika mati kedua ibu bapa kamu atau salah seorang, maka hendaklah kamu kuat-kuat mendoa’akannya pada tiap-tiap solat dan \ziarah pada kuburnya pada tiap-tiap hari jum’at.

Wasiat 33
Hendaklah kuat membuat kebajikan serta dengan yakin kepada guru-guru dan jangan durhaka kepadanya.

Wasiat 34
Hendaklah berkasih-kasihan dengan orang sekampung dan jika kafir sekalipun dan jangan berbantah-bantah dan berkelahi dengan mereka itu.

Wasiat 35
Jangan diberi hati kamu mencintai akan maksiat, artinya membuat kejahatan, kerna yang demikian itu percintaan hati. Dan jika banyak percintaan hati, membawa kepada kurus badan.

Wasiat 36
Jangan kamu jabatkan tangan kamu kepada apa-apa yang haram, kerana yang demikian itu mendatangkan bala.

Wasiat 37
Jika datang bala dan cubaan, maka hendaklah mandi taubat mengambil air solat, dan meminta do’a kepada Allah Ta’ala. Dan banyak-banyak bersedekah kepada fakir dan miskin dan minta tolong do’akan kepada guru-guru dan shalih-shalih karena mereka itu kekasih Allah Ta’ala.

Wasiat 38
Apabila hampir bulan Ramadhan, maka hendaklah selesaikan pekerjaan dunia supaya senang beramal ibadat didalam bulan Ramadhan dan jangan berusaha dan berniaga didalam bulan Ramadhan, tetapi hendaklah bersungguh-sungguh beramal dan ibadat dan membuat kebajikan siang dan malam, khususnya bertadarus Quran dan bersuluk.

Wasiat 39
Hendaklah kuat bangun pada waktu sahur, beramal ibadat dan meminta do’a , karena waktu itu tempat do’a yang makbul, khususnya waktu sahur malam Jum’at.

Wasiat 40
Hendaklah kuat mendo’akan orang Islam, sama ada hidup atau mati.

Wasiat 41
Apabila bertambah-tambah harta benda kamu dan bertambah-tambah pangkat derjat kamu, tetapi amal ibadat kamu kurang, maka jangan sekali-kali kamu suka akan yang demikian itu, karena demikian itu kehendak setan dan iblis dan lagi apa faedah harta bertambah-tambah dan umur berkurang-kurang.

Wasiat 42
Maka hendaklah kamu i’tikadkan dengan hati kamu, bahawasanya Allah Ta’ala ada hampir kamu dengan tiada bercerai-cerai siang dan malam. Maka Ia melihat apa-apa pekerjaan kamu lahir dan batin. Maka janganlah kamu berbuat durhaka kepada-Nya sedikit jua, karena Ia senantiasa melihat juga tetapi hendaklah senantiasa kamu memohonkan keridhaan-Nya lahir dan batin. Dan lazimkan olehmu i’tikad ini supaya dapat jannatul ‘ajilah artinya sorga yang diatas dunia ini.

Wasiat 43
Maka hendaklah kamu ingat bahawa malikal maut datang kepada setiap seorang lima kali dalam sehari semalam, mengabarkan akan kamu bahawa aku akan mengambil nyawa kamu, maka hendaklah kamu ingat apabila sudah sembahyang tiada sampai nyawa kamu kepada solat kedua, demikian selama-lamanya.

Wasiat 44
Hendaklah kamu kuat mendo’akan hamba yang dha’if ini dan sekurang-kurangnya kamu hadiahkan kepada hamba pada tiap-tiap malam Jum’at dibaca suratul Fatihah sekali dan Qul Huwallahu Ahad (surah al-Ikhlas) sebelas kali, atau suratul Yaasin sekali pada tiap-tiap malam Jum’at atau ayatul Kursi 7 kali dan aku mendo’akan pula kepada kamu sekalian.

Inilah wasiat hamba yang 44 atas jalan ikhtisar dan hamba harap akan anak cucu hamba akan membuat syarahnya masing-masing dengan kadarnya yang munasabah, supaya tahu dha’ifut thullab wa qashirul fahmi. Wallahu Khairul Hakimin, wa Maqbulus Sailin. Amin.

Demikianlah bunyi wasiat beliau, dengan tidak mengubah teks asalnya. Apabila kita perhatikan dengan teliti, maka akan kita dapati, bahawa isi wasiat itu sesuai benar dengan firman Allah dan sabda Rasulullah Sallallahu alaihi wasalam. Kita yakin dan percaya apabila wasiat itu kita amalkan, nescaya kita memperolehi keberuntungan dan kebahagiaan hidup dunia dan akhirat.

(Penulis, H.M.Fahmi El Fuad, adalah cicit langsung dari Syekh Abdul Wahab Rokan al-Khalidi an-Naqsyabandi, Tuan Guru Babus Salam).

Dalam thoriqat ada Penyucian dosa.Dalam thoriqat ada kesempurnaan Jiwa.Dalam thoriqat, semua kita bersaudara dalam thoriqat, dunia segala Cinta.

Wallahua'lam

Tidak ada komentar:

Posting Komentar